Variasi menu di Mengkuang Cafe & Bistro
Oleh: BINTU RASYADA ABDUL RAHMAN (E-mel seleramingguan@utusan.com.my)
TERCARI-cari lokasi mengalas perut yang menyediakan menu variasi dengan persekitaran yang ‘happening’? Apa kata kunjungi Mengkuang Cafe & Bistro (Mengkuang) yang terletak di Challanger Sport Center, tidak jauh dari Plaza Phoenix, Cheras.
Mungkin sukar mempercayai sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai pilihan makanan dari menu masakan melayu popular, gerai mamak, kopitiam, masakan barat, piza, masakan Cina, India dan banyak lagi.
Terletak sebumbung dengan pusat sukan yang menempatkan gelanggang futsal, snuker dan badminton, Mengkuang menjadi lokasi menarik terutama untuk mereka yang gemar makan larut malam kerana beroperasi hingga pukul 3 pagi.
Agak menghairankan apabila Mengkuang tidak menyediakan menu masakan Thai yang biasa terdapat di restoran-restoran seluruh negara.
Menurut pemiliknya, Iskandar, mereka sengaja tidak menyediakan hidangan Thai kerana sudah terlalu banyak di sekitar lembah Klang.
“Bosan juga ingin menikmati makan malam di luar jika semua gerai menyajikan makanan Thai. Gerai mamak pula, menunya terhad,” katanya yang baru menjalankan perniagaan di situ tidak sampai dua bulan.
Antara menu yang popular di sini adalah nasi goreng mengkuang spesial, udang spesial mengkuang (digoreng bersama oat), nasi kerabu, mi rebus dan laksam.
Terdapat juga nasi lemak yang menyajikan pelbagai jenis sambal berlauk seperti sotong, telur, udang, daging, kerang dan juga rendang ayam.
Jangan lupa mencuba menu masakan barat istimewa seperti cop ayam, kambing, sup cendawan, spageti dan juga pelbagai jenis piza.
Untuk menghilangkan dahaga pula, terdapat pelbagai minuman dari jus buah-buahan, ABC dan pelbagai lagi. Penggemar kopi boleh mencuba kopi kiasu istimewa yang dicampur secedok aiskrim vanila, pasti memuaskan selera.
Kata Iskandar, kopi Mengkuang ditempah khas dari kampungnya di Muar, begitu juga dengan kaya buatan sendiri yang menggunakan resipi asli.
Bagi peminat bola sepak, Mengkuang turut menyediakan skrin besar 10 kaki untuk keselesaan tontonan peminatnya. Tentu ia menjadi ‘port’ menarik untuk ‘kaki bola’ sambil menghirup secawan teh tarik atau kopi ketika menonton perlawanan larut malam.
Terdapat juga bilik dilengkapi peralatan karaoke.
Harga bagi pakej karaoke pula berpatutan – dari RM40 hingga RM150. Kata Iskandar, pihaknya juga sedia menerima tempahan untuk majlis tertentu dan juga perkhidmatan katering.
Istimewa hujung minggu bermula Jumaat, Mengkuang menghidangkan Arabian Delight bermula pukul 6 petang hingga 10.30 malam. Sambil menjamu selera pengunjung juga akan dihiburkan persembahan ‘live band.’
Dengan harga yang berpatutan, variasi makanan, kemudahan meletak kenderaan percuma (800 buah kereta), tentunya Mengkuang menjadi lokasi sesuai untuk warga kota menjamu selera.
No comments:
Post a Comment